Aplikasi MyGeoMap merupakan satu aplikasi yang memaparkan maklumat tempat tumpuan secara geospatial kepada orang awam. Fungsi utama aplikasi termasuklah fungsi penambahan maklumat oleh pengguna (crowdsource), pelaporan bencana serta fungsi pandu arah dan navigasi. Capaian menggunakan aplikasi mobile juga merupakan ciri-ciri baharu yang terdapat pada aplikasi ini yang memudahkan pengguna mencapai dan menggunakan aplikasi ini pada bila-bila masa.
Dalam konteks perkongsian maklumat, aplikasi ini menjadi pemangkin kepada kolaborasi strategik di antara pelbagai Agensi Kerajaan dan Swasta dalam berkongsi maklumat seterusnya menjadikan aplikasi ini sebagai satu platform perkongsian maklumat yang sahih dan boleh dipercayai. Sehingga kini, sebanyak 17 Agensi telah berkolaborasi melalui perkongsian maklumat yang dikategorikan dalam 13 kategori data iaitu Perkhidmatan Kesihatan, Institusi, Pendidikan, Komuniti, Komersial, Pengurusan Bencana, Rekreasi Dan Pelancongan, Perkhidmatan Pengangkutan, Ladang Unggas, Rangkaian Jalan, Guna Tanah dan Sempadan Pentadbiran. Kolaborasi dengan agensi lain dijalankan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan kesesuaian maklumat yang perlu dipaparkan di dalam Aplikasi.