DMCOCOA adalah satu Aplikasi MudahAlih yang dibangunkan dengan dua fungsi, iaitu bertindak sebagai a) Sistem Pemantauan dan Pengurusan Perosak Ulat Pengorek Buah Koko (UPBK) yang juga dikenali secara saintifik sebagai Conopomorpha cramerella dan b) Pangkalan Data bagi Rekod Hasil Koko. Sistem Pemantauan dan Pengurusan perosak UPBK dalam aplikasi ini berfungi untuk membantu pengusaha koko menentukan masa sesuai bila semburan racun serangga diperlukan untuk mengawal populasi telur perosak ulat pengorek buah koko (UPBK) supaya tidak mencapai kerugian ekonomi. Manakala fungsi kedua sebagai pangkalan data, aplikasi ini dapat merekodkan data hasil biji koko samada basah atau kering serta nilai jualan hasil biji koko pada setiap tranksasi dibuat. Aplikasi DMCOCOA ini dibangunkan menggunakan dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sistem Pemantauan dan Pengurusan perosak UPBK dalam Aplikasi DMCOCOA dibangunkan menggunakan Sistem Sokongan Keputusan Berpacukan Model (Model Driven Decision Support System) yang dikenali dengan singkatan nama SSKBM. Aplikasi DMCOCOA ini direkabentuk untuk membantu pengusaha koko meningkatkan keberkesanan membuat keputusan mengenai masa semburan racun serangga yang diperlukan bagi mengawal populasi telur UPBK supaya berada di bawah tahap ambang ekonomi (Economy Threshold Level) yang bermaksud kerugian nilai hasil sama dengan kos pengurusan perosak. Keputusan dibuat berdasarkan gabungan maklumat untuk mengira nilai tahap ambang ekonomi yang melibatkan kos pengurusan perosak UPBK seperti kos racun serangga dan upah pekerja membuat semburan serta kerugian hasil koko yang dikira daripada harga pasaran biji koko basah, bilangan kepadatan telur UPBK per buah serta model regresi linear kehilangan hasil koko akibat telur UPBK. Pelan Jujukan Pensampelan (Sequential Sampling Plan) digunakan untuk Sistem Pemantauan dan Pengurusan perosak UPBK dalam Aplikasi DMCOCOA ini. Kelebihan menggunakan Pelan Jujukan Pensampelan ialah saiz sampel tidak ditetapkan terlebih dahulu, tetapi ditentukan secara pecahan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat pada setiap pensampelan yang lebih kos efektif. Aplikasi MudahAlih DMCOCOA ini memberi manfaat kepada khususnya pengusaha koko dan pekerja estet koko di rantau Asia Tenggara yang mengalami masalah serangan UPBK yang serius dengan membantu mengurangkan penggunaan racun serangga yang tidak perlu dan seterusnya akan meningkatkan keuntungan pengusaha koko dan estet.